Jerawat

Cara Mencegah Dan Mengatasi Masalah Jerawat (Acne)

Baca Soalan

  • Terdapat pelbagai jenis cara mencegah jerawat di pasaran sekarang seperti:   
    • Krim pembasuh
    • Ubat-ubatan
    • Ramuan tradisional  
  • Namun demikian, cara mengatasi jerawat batu yang paling berkesan ialah penjagaan kebersihan muka.
  • Oleh itu, bagi warga yang menginginkan muka yang cantik, anda hendaklah membasuh muka setiap hari dengan menggunakan bahan-bahan yang sesuai. Pilih krim pembasuh yang berupaya membuang kekotoran, minyak dan peluh dari muka anda.
  • Selain itu, pilih krim yang bebas dari alkohol agar kulit anda tidak akan menjadi terlalu kering. Basuh muka dengan menggunakan air suam dan bukannya air panas.
  • Namun demikian, penggunaan kirm pembasuh muka adalah terhad kepada dua kali sehari sahaja kerana penggunaan krim pembasuh yang keterlaluan akan menjejaskan kesihatan kulit muka.
  • Selain krim pembasuh muka, penggunaan krim pelembab muka adalah sangat digalakkan. Pilih cecair pelembab yang tidak mengandungi bahan wangian atau bahan lain yang boleh menyumbat ruang roma pada muka anda.
  • Di samping itu, penggunaan bahan solekan juga harus dihadkan. Banyak wanita yang sering menggunakan alat solekan untuk menutup jerawat mereka tetapi bahan solekan sering menyebabkan jerawat dan keradangan kulit yang lebih serius.
  • Terdapat pelbagai kekotoran dan kuman pada permukaan tangan kita kerana kita sering menyentuh perkakas dan bahan-bahan yang tercemar. Oleh itu, elakkan dari menyentuh muka anda dengan tangan anda.
  • Sebagai contohnya, jika anda ingin mengelap air peluh dari muka anda, gunakan sapu tangan dan bukannya tangan anda. Penghindaran cahaya matahari juga merupakan satu cara mencegah jerawat yang berkesan.
  • Gunakan krim penghadang cahaya matahari untuk mengelakkan kekeringan kulit muka anda.

Penjagaan muka berjerawat

  • Penjagaan muka berjerawat adalah sangat penting untuk mengelakkan jerawat daripada menjadi lebih serius. Bagi orang yang telah mengalami jerawat di bahagian muka, penggunaan ubat-ubatan merupakan salah satu cara mengatasi jerawat batu.
  • Pelbagai jenis ubat sapu seperti krim antibiotik boleh digunakan untuk mengatasi masalah jerawat di muka. Penggunaan ubat-ubatan tersebut haruslah berdasarkan nasihat daripada doktor atau pakar kulit untuk mencapai kesan terbaik.
  • Selain ubat-ubatan, membasuh muka dengan kerap serta memastikan kulit muka sentiasa lembap juga berupaya membantu proses penyembuhan kulit anda.
  • Stres dan tekanan emosi boleh menyebabkan jerawat menjadi lebih serius kerana kondisi-kondisi tersebut akan menyebabkan ketidakseimbangan hormon di dalam badan anda. Oleh itu, anda digalakkan untuk belajar cara relaksasi dan pengurangan stres untuk membantu menyembuhkan jerawat.
  • Di samping itu, pengambilan makanan yang berminyak, bergula atau terproses juga perlu dihadkan untuk mengatasi masalah jerawat.
  • Elakkan daripada memicit jerawat kerana ia boleh menyebabkan perdarahan, jangkitan kuman dan parut di muka.

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?