Jerawat

Penyebab, Gejala, Diagnosis,Tips Dan Cara Hilangkan Jerawat

Baca Soalan

Jerawat merupakan salah satu masalah yang paling kerap dialami oleh kebanyakan orang dalam kehidupan masing-masing. Masalah jerawat boleh menjejaskan mana-mana kumpulan umur tetapi golongan remaja dan belia adalah yang paling banyak mengalami masalah ini.

Walaupun jerawat merupakan sebuah isu fizikal, tetapi ia membawa impak yang besar pada kesihatan mental dan keyakinan diri seseorang. Jerawat boleh berlaku pada semua bahagian kulit pada badan kita, tetapi kulit muka adalah kawasan yang paling sensitif. Muka pula adalah tempat pertama yang akan dipandang oleh orang lain apabila ingin berbicara. Jerawat boleh menyebabkan sesetengah orang yang mengalami masalah ini merasakan bahawa keadaan mereka membawa persepsi yang buruk pada pandangan yang pertama.

Apakah itu Jerawat?

Pernahkah anda meneliti muka anda pada cermin dengan dekat? Anda pasti pernah melihat lubang-lubang yang kecil pada kulit muka anda. Lubang ini dikenali sebagai liang atau pori. Dalam keadaan normal, pori ini mengandungi sel-sel kulit yang telah mati, minyak kulit dan bakteria. Jerawat hanya timbul apabila liang-liang ini tersumbat dengan minyak kulit yang berlebihan. Ini membawa maksud jerawat yang sebenar. Kebanyakan orang hanya mendapat masalah ini apabila mereka mencapai akil baligh. Pada masa ini, terdapat pelbagai perubahan yang berlaku pada kulit, hormon dan proses-proses tubuh yang lain.

Penyebab Jerawat

Jerawat merupakan masalah yang amat rumit untuk diselesaikan. Hal ini kerana jerawat yang berlaku pada seseorang boleh disebabkan pelbagai faktor. Merawat penyebab jerawat dapat membantu memberhentikan patofisiologi jerawat sendiri. Antara faktor risiko yang paling memberi kesan pada kulit anda adalah:

  • Perubahan hormon terutamanya, semasa baligh dan semasa mengandung.
  • Terdapat juga ubat-ubatan yang dapat menyebabkan masalah ini seperti pil perancang dan kortikosteroid.
  • Kajian juga menunjukkan tabiat pemakanan yang tinggi dalam gula halus (‘refined’ sugar) atau karbohidrat seperti roti putih dan makanan ringan.
  • Jika anda mempunyai ibu bapa atau adik-beradik yang mempunyai masalah jerawat, keberangkalian anda juga untuk menghadapi isu yang sama adalah amat besar. Kebanyakan kali, faktor-faktor ini wujud bersama dalam seseorang.

Jenis Jerawat

Terdapat pelbagai jenis jerawat yang boleh berlaku. Semua jenis bermula dengan liang-liang yang tersumbat.

  • Apabila liang-liang ini tersekat, ‘whitehead’ or ‘blackhead’ akan timbul pada permukaan kulit. Jika pori yang tersekat tetap terbuka, ia akan kelihatan hitam dan dikenali sebagai ‘blackhead’. Apabila ia tertutup, bahagian atas benjolan kecil tersebut akan kelihatan putih. Ini dipanggil sebagai ‘whitehead’. ‘Blackheads’ dan ‘whiteheads’ lebih mudah untuk dirawat jika dibandingkan dengan jenis-jenis yang lain. Jenis ini juga tidak begitu ketara apabila dilihat begitu sahaja.
  • Kadang-kadang liang-liang ini mengalami kerengsaan, sehingga dinding mereka pecah. Ini menyebabkan jerawat yang lebih besar dipanggil ‘papules’ and ‘pustules’. Papules lebih keras apabila anda menyentuhnya. Papule sering timbul dengan banyak dan serentak. Kulit anda akan terasa seperti kertas pasir. Pustules merupakan seperti papules juga tetapi akan kelihatan kekuningan dan dipenuhi dengan cecair nanah. Papules dan pustules lebih sukar untuk dirawat. Anda berkemungkinan perlu berjumpa dengan doktor untuk membantu membasmi masalah anda.
  • Apabila liang yang tersumbat ini mengalami lebih kerengsaan, mereka berpotensi untuk menjadi lebih besar, meliputi kawasan yang lebih besar dan dalam dan merah. Ini membawa kepada jerawat yang dikenali sebagai ‘nodules’ dan ‘cyst’. Nodules selalunya lebih keras dan bengkak. Cyst pula lebih lembut kerana ia mengandungi nanah. Keadaan ini lebih ketara pada kulit muka. Anda akan dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan daripada doktor jika anda seringkali mendapat jerawat jenis ini.

Komplikasi Jerawat

Jerawat boleh menyebabkan beberapa komplikasi kepada individu yang mengalami isu ini. Antara yang paling merisaukan adalah bekas jerawat:

  • Apabila ‘nodules’ atau ‘cyst’ meletus, ia boleh merosakkan kulit berhampiran dan meninggalkan kesan yang mengambil masa yang amat lama untuk pudar atau akan memberi kesan.
  • Kesan jerawat juga akan berlaku jika anda memecahkan bintik-bintik jerawat anda sendiri.
  • Terdapat tiga jenis parut yang selalunya dilihat pada kulit pesakit:
    • Parut ais - pilih ( ‘Ice-picked scars’) merupakan lubang yang kecil di permukaan kulit. Ia kelihatan seperti kulit yang terkena objek yang tajam.
    • Parut bergulung (‘rolling scars’) pula disebabkan oleh tisu parut yang terbentuk di bawah kulit yang memberi permukaan kulit yang kelihatan tidak rata.
    • Luka boxcar (‘boxcar scar’) pula dilihat sebagai lekuk bulat atau lekuk bujur atau kawah di dalam kulit.

Langkah-Langkah yang Membantu Membasmi Jerawat

Perkara terbaik dalam menangani masalah jerawat ialah untuk cuba menghentikan masalah tersebut sebelum ia bermula.

  1. Cuci muka anda dua kali sehari dengan air suam menggunakan pembersih muka yang lembut. Lembut bermaksud pembersih ini dapat membersihkan kulit anda tanpa mengeringkan kulit anda.
  2. Jangan gunakan kain lap atau gosok muka anda dengan keras. Jerawat anda akan lebih teruk jika anda berbuat demikian.
  3. Jikalau anda menggunakan alat solek, pastikan anda membersih muka anda dengan baik sehingga tiada kesan solekan pada muka anda. Bersihkan peralatan yang anda gunakan untuk solekan seperti berus muka dan mata.
  4. Basuh rambut anda dengan kerap. Rambut yang terlalu berminyak dapat memburukkan keadaan muka anda.
  5. Pastikan penyembur rambut anda dan gel rambut tidak kena pada wajah anda. Hal ini dapat menyekat pori-pori anda.
  6. Apabila membeli serum atau pelembap kulit muka, pastikan anda menggunakan produk yang bebas minyak dan ‘non-comedogenic’. Produk seperti tidak akan menyumbat liang-liang anda.

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?