Kolesterol Tinggi

Gejala Kolesterol Tinggi

Baca Soalan

Tanda-tanda awal kolestrol tinggi

Gejala kolesterol tinggi sukar untuk dikesan pada peringkat awal. Kolesterol tinggi merupakan penyumbang utama penyakit berbahaya seperti strok, serangan jantung dan penyakit arteri kaki, di mana semua penyakit ini berpotensi membawa maut.

Oleh itu, sangat penting bagi seseorang untuk mengetahui tahap kolesterol dalam badan mereka seawal usia 20 tahun ke atas. Ujian darah secara rutin disarankan bagi setiap orang dewasa di Malaysia, terutamanya bagi mereka yang berisiko tinggi seperti menghidap penyakit kronik, berat badan berlebihan, merokok, mengambil minuman alkohol, gaya hidup tidak aktif dan mempunyai sejarah ahli keluarga dengan penyakit jantung dan strok. Sekiranya hasil ujian adalah normal, mereka disarankan untuk melakukan semula ujian darah selepas 5 tahun.

Gejala ataupun simptom kolesterol tinggi yang dilihat berlaku adalah berpunca daripada kesan kerosakan yang berlaku dan bukanlah disebabkan oleh tahap kolesterol yang tinggi itu sendiri. Hai ini bermaksud seseorang itu boleh mempunyai tahap kolesterol yang tinggi selama bertahun-tahun tanpa menunjukkan sebarang simptom sehinggalah terjadinya kerosakan. Seeloknya janganlah ditunggu sehingga mendapat simptom atau gejala-gejala ini barulah ingin berjumpa doktor dan melakukan ujian darah kolesterol.

Berikut merupakan simptom dan petanda sekiranya seseorang mempunyai kolesterol tinggi.

Tompok-tompok kuning pada mata (xanthelasmas) dan kulit (xanthomas)

Ini merupakan petanda paling senang dikesan. Xanthelasma ialah bintik kuning di dalam kelopak mata yang mungkin menjadi petanda pertama dikenal pasti oleh pesakit. Xanthelasmas berlaku apabila terdapatnya pengumpulan elemen yang kolesterol tinggi di dalam kulit. Ia terkumpul di dalam foam cell di dalam kulit. Walaupun ia tidaklah merbahaya atau menyakitkan, daripada sudut estetik ia boleh membesar dan dilihat daripada jauh.

Xanthoma pula ialah keadaan yang hampir sama namun berbeza lokasi. Contoh lokasinya ialah siku, lutut, tangan, kaki, sendi dan punggung.

Sakit jantung (angina)

Kolesterol tinggi merupakan salah satu penyumbang utama kepada masalah aterosklerosis, di mana pengumpulan plak di dalam salur darah boleh menyebabkan arteri semakin sempit dan tersumbat. Ia boleh menyebabkan penyakit seperti serangan jantung, strok dan penyakit saluran darah tersumbat di kaki. Kajian juga menunjukkan seseorang yang mempunyai kolesterol tinggi mempunyai risiko kematian akibat penyakit-penyakit ini. Mengenal pasti petanda kolesterol tinggi dan juga gejala penyakit yang disebabkan oleh kolesterol tinggi pada peringkat awal sangat penting terutamanya sebelum ia menjadi lebih serius. Langkah-langkah pencegahan kemudian boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit berbahaya ini.

Terdapat banyak simptom atau gejala sakit jantung. Angina ialah keadaan di mana saluran arteri yang membawa darah ke otot jantung menjadi semakin sempit. Jika tidak dirawat atau dicegah, arteri boleh menjadi tersumbat secara total dan menyebabkan serangan jantung atau myocardial infarction. Perkara ini amat merbahaya dan boleh membawa maut. Tanda- tanda sakit jantung atau angina ialah:

  • Sakit dada - terasa seperti ditekan, dihempap, dicucuk benda tajam, panas

  • Sakit di tangan, rahang, bahu ataupun belakang badan

  • Mual dan muntah

  • Sesak nafas

  • Berpeluh

  • Pening

Seeloknya pesakit perlu berusaha untuk menurunkan kadar kolesterol di dalam badan agar mereka tidak mendapat serangan angina. Tiada petanda khusus untuk gejala kolesterol rendah, namun sebagai permulaan, penurunan berat badan dan ukur lilit pinggang merupakan salah satu petanda yang baik. Untuk mengukur tahap kolesterol yang lebih tepat, ujian darah perlu dilakukan.

Sakit jari kaki dan kekejangan kaki

Penyempitan saluran darah ke kaki yang disebabkan oleh aterosklerosis boleh menyebabkan penyakit yang dinamakan sebagai peripheral arterial diseases (PAD). Penyakit ini biasa berlaku dalam kalangan penghidap kolesterol tinggi. Jumlah darah dan oksigen yang disalurkan ke kaki berkurangan dan menyebabkan kaki kesakitan apabila otot kaki digunakan.

Berikut merupakan simptom dan gejala penyakit peripheral arterial disease (PAD):

  • Sakit kejang pada kaki, betis, peha atau punggung selepas aktiviti seperti berjalan, bersenam, menaiki tangga dan sebagainya. Ini digelar klaudikasi atau ‘claudication’

  • Kaki berasa kebas atau lemah

  • Kaki berasa sejuk

  • Luka atau ulser di kaki yang susah untuk sembuh

  • Perubahan warna kulit di kaki dan bulu gugur di kaki

  • Nadi lemah di bahagian kaki

  • Mati pucuk bagi pesakit lelaki

Tanda-tanda seperti angin ahmar atau strok

Strok merupakan salah satu penyebab utama kematian dan kecacatan rakyat Malaysia. Dan sekali lagi penyumbang utama penyakit strok ialah aterosklerosis. Tanda-tanda awal penyakit strok ialah:

  • Lemah atau kebas sebelah badan secara tiba-tiba seperti di muka, tangan atau kaki

  • Kekeliruan secara tiba-tiba dan susah untuk bercakap atau memahami perkataan

  • Masalah gangguan visual secara tiba-tiba di sebelah atau kedua-dua belah mata

  • Susah untuk berjalan secara tiba-tiba atau susah untuk mengkoordinasi pergerakan

  • Sakit kepala yang sangat teruk tanpa sebarang sebab

Jika seseorang mengalami salah satu daripada gejala di atas, segera ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut bagi mengelakkan kecacatan kekal yang lebih serius atau kematian.

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?