Gaya hidup yang lebih sihat
Kolesterol tinggi telah dikenal pasti sebagai salah satu faktor yang paling penting untuk penyakit kardiovaskular. Penyakit kardiovaskular termasuklah penyakit salur darah di kaki yang mengakibatkan iskemia kaki secara akut dan pada jantung, seperti serangan jantung atau iskemia dan juga strok. Kematian disebabkan oleh penyakit tidak berjangkit di Malaysia adalah sebanyak 73% dan penyumbang utamanya ialah penyakit kardiovaskular. Sangat signifikan!
Perubahan kepada gaya hidup yang lebih sihat merupakan cara menurunkan kolesterol yang terbaik. Dengan menangani faktor-faktor yang menyebabkan penyakit kolesterol tinggi atau hiperkolesterolemia, seseorang itu mampu mencegah komplikasi masalah kolesterol tinggi, malah mengurangkan tahap kolesterol dalam badan. Berikut merupakan perubahan gaya hidup yang disarankan untuk merawat masalah kolesterol:
Gaya pemakanan yang sihat dan seimbang
Mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemak dan kolesterol serta menambahkan makanan yang kaya dengan serat.
Gaya hidup yang lebih aktif
WHO menyarankan agar seseorang melakukan senaman sekurang-kurangnya 5 sesi seminggu dan 30 minit bagi setiap sesi. Ia bukan sahaja mampu membantu mengurangkan tahap kolesterol dalam badan, malah ia mampu mengurangkan berat badan, meningkatkan keyakinan diri, menjadikan minda lebih cerdas, menstabilkan emosi, menghindarkan penyakit kronik dan berbagai lagi manfaat yang boleh meningkatkan kualiti hidup.
Berhenti merokok dan kurangkan pengambilan alkohol
Kedua-dua perbuatan merokok dan mengambil minuman beralkohol telah dikenalpasti akan menyebabkan peningkatan kolesterol. Oleh itu menghentikan kedua perkara ini akan mengurangkan tahap kolesterol dalam badan. Sila dapatkan nasihat dan bantuan daripada doktor anda untuk berhenti merokok.
Mengawal penyakit kronik
Mengawal penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan hipertiroid boleh membantu di dlam mengurangkan kolesterol dalam badan. Pastikan setiap bacaan berada pada tahap yang optimal dengan mengamalkan nasihat doktor dan mematuhi pengambilan ubat-ubatan yang diberikan.
Mengawal stress dengan baik
Stress boleh menyebabkan peningkatan penghasilan hormon kortisol yang akan meningkatkan tahap kolesterol di dalam tubuh badan. Teknik pengawalan stress yang baik boleh mengelakkan keadaan ini daripada berlaku.
Makanan-makanan yang perlu ditambah dan dikurangkan
Seperti yang telah dinyatakan di atas, penjagaan pemakanan merupakan salah satu faktor-faktor yang penting rawatan kolesterol tinggi. Tujuan penjagaan makanan ialah untuk mengurangkan tahap kolesterol dalam badan serta mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Diet yang betul boleh menurunkan kolesterol sebanyak 10-15%.
Berikut merupakan makanan yang mengandungi kandungan kolesterol yang tinggi dan perlu dikurangkan:
Produk tenusu seperti keju, yogurt, ghee, marjerin dan mentega
Produk berasaskan kelapa seperti minyak kelapa dan santan
Daging merah dan organ dalaman seperti hati, limpa, hempedu, otak dan kepala ikan
Produk makanan segera dan fast food seperti burger, sosej, nugget, ayam goreng, kentang goreng
Produk berasaskan telur seperti mayonis, kek dan biskut
Makanan tinggi asid lemak tepu seperti kek, donut, pastri, makanan bertepung dan bergoreng
Berikut pula jenis makanan yang digalakkan untuk penghidap kolesterol tinggi:
Buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan fiber seperti oat, terung, barli, epal, kacang, strawberi, anggur, oren dan lain-lain
Produk tinggi asid lemak tidak tepu seperti minyak sawit, minyak kanola, minyak zaitun, gajus, kacang tanah. Asid lemak tidak tepu membantu untuk meningkatkan kolesterol baik dan menurunkan kolesterol jahat, sekaligus merendahkan risiko penyakit kardiovaskular.
Ikan yang kaya dengan asid lemak omega 3 iaitu salmon, kod, tuna dan makerel. Ia akan membantu meningkatkan kolesterol baik iaitu HDL.
Terdapat juga beberapa tips yang boleh diaplikasikan di dalam masakan dan penyediaan makanan untuk membantu di dalam mendapatkan diet yang rendah kolesterol. Antaranya ialah:
Menggunakan non-sticky pan untuk memasak bagi mengurangkan penggunaan minyak
Membuang kulit ayam sebelum memasak
Masak menggunakan teknik panggang, bakar, kukus atau rebus sahaja
Banyakkan makan makanan yang dimasak di rumah dan kurangkan makan di restoran makanan segera.
Ubat-ubatan
Sekiranya kolesterol masih tinggi ataupun tahap kolesterol terlalu tinggi walaupun selepas perubahan gaya hidup, doktor akan memberikan ubat untuk mengawal tahap kolesterol. Sebagai contoh ubat statin, iaitu pilihan pertama untuk menurunkan LDL. Jenis statin termasuklah ubat atorvastatin (Lipitor), ovastatin (Mevacor), simvastatin (Zocor) dan rosuvastatin (Crestor).
Waktu sesuai makan ubat kolesterol bergantung kepada jenis statin. Ada yang perlu diambil sehari sekali pada waktu pagi dan ada yang perlu diambil dua kali sehari. Sebagai contoh simvastatin adalah lebih baik diambil pada waktu malam kerana kesan ubat kolesterol simvastatin mengurangkan LDL pada waktu malam lebih baik daripada pada waktu pagi. Dapatkan info daripada paket ubat atau bertanya terus kepada doktor anda.
Statin sangat berkesan untuk menurunkan kandungan kolesterol namun terdapat juga side effect ubat kolesterol yang harus diambil kira. Sila berbincang dengan doktor anda sebelum memulakan rawatan statin dan segera berjumpa dengan seorang doktor sekiranya anda mengalami kesan sampingan selepas menggunakan statin. Pesakit juga dinasihatkan untuk melakukan ujian darah secara rutin sekiranya mengambil statin.
Selain itu juga, ubat lain untuk kolesterol tinggi termasuklah fibrate, niacin, bile acid drug dan PCSK9 Inhibitors. Ubat-ubatan ini boleh diberikan bersama atau menggantikan statin jika kadar kolesterol masih kekal tinggi walaupun selepas rawatan.
Rawatan alternatif
Ubat-ubatan di atas memerlukan preskripsi doktor, namun terdapat juga ubat kolesterol di farmasi yang boleh dibeli tanpa preskripsi doktor. Ubatan yang biasa digunakan dan menunjukkan kesan yang baik ialah minyak ikan Omega 3. Omega-3 mempunyai docosahexaenoic acid (DHA) dan eicosapentaenoic acid (EPA) di mana kedua-dua bahan ini membantu di dalam mengurangkan kolesterol LDL dan meningkatkan kolesterol HDL.