Karim
6 tahun
Sakit belakang dan sakit lutut
Hai doktor, saya seorang pesara kerajaan dan sekarang tinggal bersama anak-anak dan cucu di rumah. Kadang-kadang saya rasa saya ni cepat sangat dapat sakit belakang dan sakit lutut. Kenapa ya doktor? Ada ke apa-apa makanan yang saya boleh cuba amalkan untuk kekal sihat? Terima kasih banyak-banyak doktor
6 tahun
Salam sejahtera. Terima kasih kerana sudi menghubungi kami.
Pada pendapat saya, jika anda tiada masalah kesihatan dan simptom yang lain, sakit belakang anda berkemungkinan besar disebabkan oleh penyakit spondylosis di mana sendi-sendi di tulang belakang melalui proses degenerasi. Kesakitan ini biasanya lebih menjadi lebih serius ketika berjalan. Ada juga pesakit yang terdapat sensasi kebas dan kelemahan di kedua-dua kaki. Rawatan bagi penyakit ini biasanya bersifat konservatif. Anda mungkin menerima ubat tahan sakit dan fisioterapi. Pembedahan jarang diperlukan.
Bagi kesakitan di bahagian lutut, anda berkemungkinan mengalami osteoarthritis. Lutut kita memalui proses degenerasi dengan usia yang semakin meningkat. Kesakitan itu biasanya lebih teruk dengan penggunaan lutut dan menjadi lega selepas rehat. Ada juga pesakit yang mengalami ketegangan lutut ketika bangun pada waktu pagi. Rawatan yang biasa diberi termasuklah pengurangan berat badan, ubat tahan sakit dan fisioterapi. Pembedahan hanya diperlukan jika keadaan menjadi lebih serius.
Setiap warga emas disyorkan mengamalkan gaya hidup sihat untuk menikmati kualiti hidup yang baik. Pastikan anda mengamalkan pemakanan seimbang dan senaman yang mencukupi. Makanan yang bermanfaat bagi anda adalah buah-buahan dan sayur-sayuran. Anda digalakkan bersenam sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu. Dengan gaya hidup sihat, berat badan akan menurun dan masalah sakit lutut turut akan berkurang. Sekian, harap membantu.
6 tahun
Salam sejahtera. Terima kasih atas soalan anda.
Bagi sakit belakang dan sakit lutut, pada pendapat saya merupakan masalah yang berasing dan mempunyai sebab yang berlainan. Sakit belakang anda mungkin berasal daripada kekurangan kekuatan otot anda atapun mempunyai masalah osteoporosis.Sekiranya anda mempunyai sakit belakang yang menjejaskan rutin harian anda seperti pergerakan dan tidur anda, sila berjumpa dengan doktor anda.
Bagi sakit lutut pula, ia adalah berpunca daripada penggunaan lutut yang berlaku secara natural, menyebabkan kerosakan kartilaj dan tulang anda. Faktor seperti pemakanan dan kekurangan vitamin boleh mempercepatkan sakit lutut anda. Anda berkemungkinan mempunyai osteoarthritis. Kesakitan boleh dikurangkan dengan penggunaan ubat tahan sakit dan glucosamine. Sebelum mengambil ubat ini, sila dapat pemeriksaan daripada doktor anda untuk menentukan diagnosis anda.
Secara amnya, pesara seperti encik boleh mengamalkan senaman ringan dalam aktiviti seharian. Selain itu, pakcik boleh menambahkan pemakanan yang mengandungi banyak sayur-sayuran, buah-buahan, makanan yang mengandungi protein yang tinggi dan susu yang berlemak rendah. Semoga saya menjawab soalan anda.