kamal
5 tahun
Boleh tak terangkan lebih lanjut tentang sakit jantung koronari
Salam doktor, boleh tak terangkan lebih lanjut tentang sakit jantung koronari? Terima kasih.
3 tahun
Salam sejahtera, terima kasih atas soalan yang diajukan.
Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Sila klik pada link ini (DoctorOnCall)untuk bercakap dengan pihak kami.
Penyakit arteri koronari berlaku apabila plak kolesterol menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan keras. Ia boleh mengurangkan bekalan darah kepada otot jantung dan menyebabkan kematian otot jantung sekiranya keadaan in berlanjutan. Penyakit ini adalah salah satu sebab kematian utama di Malaysia.
Antara faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko penyakit arteri koronari ialah tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, diabetes, obesiti atau berat badan berlebihan, peningkatan umur, merokok, sejarah keluarga dan kekurangan aktiviti fizikal. Tanda-tanda penyakit arteri koronari termasuk sakit dada, sesak nafas, berpeluh, pening, dan loya.
Pesakit biasa mengalami masalah sakit dada atau sesak nafas selepas melakukan aktiviti fizikal, dan kesakitan tersebut boleh merebak ke bahagian leher, belakang badan atau bahu. Anda harus mendapatkan rawatan dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda ini.
Rawatan penyakit arteri koronari adalah melalui:
- Ubat – Digunakan untuk mencairkan darah, mengurangkan tekanan darah, memperlahankan kadar denyutan dan mengembangkan saluran darah.
- Angioplasti – Ia merupakan prosedur untuk mengembangkan saluran darah dan memasukkan stent jantung.
- Pembedahan pintasan – Pembedahan yang melibatkan penggantian saluran darah tersumbat dengan saluran darah dari kaki atau bahagian lain.
Penyakit arteri koronari boleh dielakkan melalui amalan gaya hidup yang sihat. Pertama sekali, makan secara sihat. Tingkatkan pengambilan serat, kurangkan pengambilan lemak tepu, lemak trans, makanan tinggi kolesterol, gula, garam dan minuman beralkohol.
Selain itu, anda harus lakukan aktiviti fizikal atau senaman secara berkala, mengekalkan berat badan yang ideal, tidak merokok, tangani stres dengan efektif dan dapatkan tidur yang cukup.
Anda juga dinasihati untuk membuat pemeriksaan perubatan secara berkala. Pastikan paras gula, kolesterol dan tekanan darah sentiasa terkawal untuk mengelakkan penyakit arteri koronari.
Sila klik pada link di bawah untuk bercakap dengan pihak kami secara peribadi melalui atas talian. Terima kasih.
Risau tentang jantung anda? Konsult doktor kami secara PERCUMA!