annie
5 tahun
Benjolan kecil pada dubur
Sy ade benjolan kecil pd dubur saya. setiap kali sy buang najis benjolan itu akan lebih terkeluar. Adakah ini masalah serius yg memerlukan pembedahan doktor?
5 tahun
Salam sejahtera.
Berdasarkan kenyataan anda di atas, anda berkemungkinan besar telah menghidap sejenis kondisi yang dikenali sebagai buasir atau haemorrhoids. Buasir terbentuk daripada tisu bahagian dubur yang bengkak akibat aliran darah yang tidak lancar. Faktor-faktor yang meningkatkan risiko buasir ialah sembelit, kurang senaman, berat badan berlebihan dan penuaan. Buasir boleh menyebabkan tanda-tanda lain seperti kegatalan dan perdarahan dari dubur.
Rawatan buasir adalah bergantung kepada betapa seriusnya masalah buasir yang anda hadapi. Anda digalakkan untuk berjumpa dengan doktor secepat mungkin agar doktor boleh menentukan rawatan yang paling sesuai untuk anda.
Secara amnya, buasir yang kecil boleh dirawat dengan meningkatkan pengambilan serat dalam diet pemakanan anda. Pengambilan serat akan melancarkan proses penghadaman makanan, melegakan masalah sembelit dan melancarkan aliran darah di bahagian dubur. Kapsul yang mengandungi ubat juga boleh disumbat ke dalam dubur untuk mengecutkan buasir. Jika rawatan konservatif adalah tidak berkesan atau buasir anda adalah terlalu besar, pembedahan yang kecil adalah diperlukan untuk membuang benjolan tersebut.
5 tahun
Selamat petang! Terima kasih atas soalan anda.
Saya dapat memahami bahawa anda sangat prihatin terhadap keadaan anda. Seperti yang telah anda nyatakan, anda mempunyai benjolan kecil pada dubur anda dan ia terkeluar setiap kali anda membuang air besar.
Simptom ini boleh disebakan oleh buasir ataupun hemorrhoid. Buasir adalah urat bengkak pada dubur dan rektum sama seperti urat varikos. Buasir adalah perkara biasa. Hampir tiga daripada empat orang dewasa akan mendapat buasir dari semasa ke semasa.
Buasir boleh disebabkan oleh:
- Tekanan semasa membuang air besar
- Duduk untuk masa yang lama di tandas
- Berat badan yang berlebihan
- Sembelit
- Cirit-birit yang kronik
Sekiranya simptom anda berterusan, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor.