Sulit
3 tahun
Ada benjolan dekat dubur.,adakah ianya buasir?
ada benjolan dekat dubur…adakah itu buasir?? ianya tidak sakit.,tapi sedikit gatal dan pedih.,tapi xsakit la pedih dia tu…adakah ia akan sembuh sendiri tanpa di ubati??
Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
3 tahun
Salam sejahtera,
Terima kasih atas soalan anda.
Berdasarkan pertanyaan anda di atas, saya memahami bahawa anda berasa bimbang tentang masalah anda. Saya akan cuba untuk membantu anda.
Berdasarkan kenyataan anda di atas, anda berkemungkinan besar telah menghidap sejenis kondisi yang dikenali sebagai buasir atau haemorrhoids. Buasir terbentuk daripada tisu bahagian dubur yang bengkak akibat aliran darah yang tidak lancar. Faktor-faktor yang meningkatkan risiko buasir ialah sembelit, kurang senaman, berat badan berlebihan dan penuaan. Buasir boleh menyebabkan tanda-tanda lain seperti kegatalan dan perdarahan dari dubur.
Buasir boleh disebabkan oleh:
- Tekanan semasa membuang air besar
- Duduk untuk masa yang lama di tandas
- Berat badan yang berlebihan
- Sembelit
- Cirit-birit yang kronik
Rawatan buasir adalah bergantung kepada betapa seriusnya masalah buasir yang anda hadapi. Anda digalakkan untuk berjumpa dengan doktor secepat mungkin agar doktor boleh menentukan rawatan yang paling sesuai untuk anda.
Secara amnya, buasir yang kecil boleh dirawat dengan meningkatkan pengambilan serat dalam diet pemakanan anda. Pengambilan serat akan melancarkan proses penghadaman makanan, melegakan masalah sembelit dan melancarkan aliran darah di bahagian dubur. Kapsul yang mengandungi ubat juga boleh disumbat ke dalam dubur untuk mengecutkan buasir. Jika rawatan konservatif adalah tidak berkesan atau buasir anda adalah terlalu besar, pembedahan yang kecil adalah diperlukan untuk membuang benjolan tersebut.
Oleh itu, saya menyarankan anda supaya merujuk kepada doktor untuk mendapat rawatan yang tepat. Anda boleh berhubung dengan doktor kami secara atas talian untuk mendapat maklumat serta rawatan yang lebih lanjut.
Saya berharap agar jawapan ini dapat membantu anda. Terima kasih.