Sulit
3 tahun
Cara mengatasi kurap pada tubuh badan
Saya wanita dan berumur 19an. Saya mempunyai kurap yang sangat gatal pada tubuh badan saya.Kurap ini membentuk bulat pada badan saya dan ianya semakin mengembang pada badan saya hingga ke kaki saya. Jadi bagaimana saya mahu atasi masalah kurap ini? Saya sudah mencuba bnyak ubat dan cream tetapi tiada kesan untuk kurap ini,malah ianya semakin berkembang pada badan saya
Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
3 tahun
Selamat sejahtera dan terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami.
Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Sila klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan doktor.
Kami memahami kebimbangan anda tentang masalah kurap yang anda hadapi. Untuk makluman anda, terdapat beberapa cara untuk menghilangkan kurap pada badan, seperti:
- Menggunakan ubat sapu
Membeli ubat sapu bagi penyakit kurap di farmasi. Walaupun tanpa preskripsi doktor, ubat sapu untuk membunuh kulat boleh didapatkan.
- Biarkan kulit yang terjejas bernafas
Dengan menutupi kawasan kulit yang terjejas dengan pembalut nampak seperti boleh mengelakkan penyakit ini daripada merebak dan berjangkit, namun ianya tidak digalakkan. Hal ini kerana dengan membaluti kawasan kulit yang terjejas, ianya akan menyebabkan kulit menjadi lebih kering dan akan hilang kelembapannya seterusnya akan melambatkan proses penyembuhan. Sebaliknya, pesakit perlu memakai pakaian yang selesa, tidak terlalu ketat, baju lengan panjang dan seluar panjang untuk mengelakkan daripada menjangkiti orang lain.
- Mencuci cadar dan selimut
Disebabkan penyakit kurap boleh berjangkit, pesakit dinasihatkan untuk mencuci cadar dan selimut dengan kerap. Spora kulat boleh mendiami cadar pesakit dan apabila ianya tidak dibasuh dan pesakit terus menggunakan cadar yang sama pada setiap malam, kulat tersebut boleh membiak dengan lebih pantas. Pasangan pesakit juga mampu dijangkiti jika tidur di tempat yang sama. Pencucian yang efektif adalah dengan menggunakan air panas, sabun basuh serta peluntur pakaian.
- Menukar seluar dalam dan stokin
Jika kurap menjangkiti kaki dan pada bahagian kemaluan, pesakit digalakkan untuk sentiasa memastikan kawasan ini kering. Jika pesakit selalu berpeluh, adalah dinasihatkan untuk pesakit mandi dan menggunakan sabun anti-kulat dan menggunakan bedak anti-kulat dan losyen selepas mandi. Pesakit perlu memastikan kawasan yang terjejas kering terlebih dahulu sebelum memakai seluar dalam dan stokin.
- Menggunakan syampu anti-kulat
Kurap yang menjangkiti kulit kepala hampir mustahil untuk sembuh dengan hanya menggunakan ubatan pil. Pesakit dinasihatkan untuk menggunakan syampu anti-kulat yang boleh menghilangkan kegatalan dan jangkitan tersebut. Syampu boleh dibeli di farmasi atau kedai yang berdekatan tanpa perlu untuk mendapatkan preskripsi dari doktor. Pesakit disyorkan untuk memastikan bahan-bahan seperti ketoconazole , selenium sulfide dan pyrithone zinc terdapat pada syampu yang ingin dibeli.
- Mengambil ubat anti-kulat
Walaupun kurap boleh disembuhkan dengan menggunakan losyen atau syampu anti-kulat, namun jika penyakit tersebut masih tidak sembuh, pesakit perlu mendapatkan rundingan dan rawatan dari doktor atau pakar kulit. Doktor akan memberikan preskripsi ubat dan pesakit perlu menghabiskan ubat tersebut dalam masa yang ditetapkan untuk mendapatkan hasil yang terbaik.
Dapatkan kulit yang sihat dengan penjagaan kulit yang betul.
Namun begitu, sekiranya masalah ini masih berlarutan, anda amat disarankan untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan pemeriksaan susulan. Untuk mendapatkan rawatan yang tepat bagi mengatasi masalah ini, maklumat lanjut dan pemeriksaan menyeluruh adalah diperlukan sebelum sebarang kesimpulan boleh dibuat.
Jika anda mempunyai pertanyaan tambahan, anda juga boleh klik link ( DoctorOnCall ) untuk berhubung dengan doktor kami secara peribadi. Terima kasih
Masih was-was? Dapatkan bantuan pakar kulit bagi membantu kondisi kulit anda!