Mastura
5 tahun
Ambil suntikan perancang, period sudah 3 bulan tak berhenti
Assalammualaikum doctor sya nak tanya sya ambil suntik perancangan keluarga 3 bulan haid sya tak berhenti sampai skrg…sya selalu rasa pitam dah semngat…
5 tahun
Salam sejahtera. Terlebih dahulu, saya ingin sarankan saudari supaya berjumpa dengan doktor untuk diperiksa dengan secepat mungkin kerana kemungkinan anda sedang mengalami kekurangan darah merah akibat pendarahan yang terlampau banyak.
Suntikan kontraseptif membebaskan hormon progestogen ke dalam aliran darah anda untuk mencegah kehamilan. Walau bagaimanapun, ia juga boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan seperti peningkatan berat badan, sakit kepala, perubahan mood, kesakitan payudara dan kitaran haid yang tidak teratur. Pendarahan ketika haid juga boleh bertambah banyak, terlalu sedikit dan tempoh haid boleh menjadi lebih pendek atau berhenti sama sekali. Masalah haid sebegini boleh berlaku dalam tahun pertama penggunaan kontraseptif ini.
Oleh itu, ia adalah penting anda mengunjungi doktor anda untuk diperiksa supaya sebab-sebab pendarahan lain boleh dikecualikan seperti kehamilan, jangkitan seksual dan penyakit faraj, pangkal rahim atau rahim. Jika pendarahan ini sudah ditentukan adalah kesan sampingan kontraseptif anda, ubat-ubat yang boleh digunakan untuk mengurangkan pendarahan termasuk ubat anti-keradangan bukan steroid, asid tranexamic dan ubat hormon seperti norethisterone dan levonogestrel.
Anda juga mungkin akan dibekalkan supplemen zat besi untuk mengatasi masalah kekurangan darah merah. Sekiranya anda berasa tidak selesa atau kesan sampingan tidak dapat diatasi, kontraseptif suntikan boleh dihentikan dan ditukarkan kepada jenis yang lain.
5 tahun
Salam sejahtera.
Suntikan hormon merupakan kaedah perancang keluarga yang diambil 3 bulan sekali dan ia berfungsi untuk mencegah kehamilan untuk jangka masa yang lama. Untuk sesetengah pesakit, suntikan hormon boleh mendatangkan kesan sampingan seperti perdarahan haid tidak tentu, tekanan emosi, payu dara sakit, senggugut, penambahan berat badan, masalah tidur dan sebagainya. Biasanya kesan sampingan akan sembuh dalam masa tiga bulan. Oleh itu, jika anda baru bermula menggunakan suntikan hormon, perdarahan haid yang berpanjangan serta kurang tenaga itu mungkin merupakan kesan sampingan suntikan hormon tersebut.
Selain kesan sampingan suntikan hormon, terdapat pelbagai jenis punca lain yang boleh menyebabkan gejala anda termasuk:
• Gangguan hormon di dalam badan
• Fibroid, iaitu sejenis ketumbuhan dari lapisan otot rahim
• Polip di serviks atau rahim
• Masalah kelenjar tiroid terutamanya kekurangan hormon tiroid atau hypothyroidism
• Jangkitan di organ kelamin
• Pelvic inflammatory disease (PID)
• Masalah kebekuan darah atau coagulopathy
• Pengambilan ubatan atau ramuan tradisional yang menyebabkan kesan mencairkan darah
• Kanser di serviks atau rahim
Perasaan pitam dan kurang semangat boleh disebabkan oleh anemia atau kekurangan darah di dalam badan. Perdarahan haid yang berpanjang boleh menyebabkan anemia. Oleh sebab anda mungkin mengalami gejala anemia, ia bermakna bahawa perdarahan anda adalah agak serius. Oleh itu, anda digalakkan untuk berjumpa dengan doktor dengan segera untuk mengenal pasti punca kepada masalah anda.