
salwa
6 tahun
Terlepas suntikan kedua dan ketiga hpv
Saya terlepas suntikan kedua dan ketiga suntikan hpv. Apakah cara penyelesaian Dr?

6 tahun
Selamat tengah hari! Terima kasih kerana bertanya.
Jadual bagi imunisasi HPV yang disyorkan adalah seperti berikut:
- Usia 14 tahun dan ke bawah menerima 2 dos vaksin HPV. Dos kedua patut diterima 6-12 bulan selepas dos yang pertama.
- Usia 15 tahun dan ke atas menerima 3 dos vaksin HPV. Dos kedua patut diterima 2 bulan selepas dos yang pertama. Dos yang ketiga patut diterima 4 bulan selepas dos yang kedua (pada bulan 0, 2 dan 6).
Sekiranya jadual pemberian vaksin ini terganggu, ia tidak perlu dimulakan semula. Mereka yang telah menerima satu atau dua suntikan patut meneruskan suntikan yang seterusnya sehingga jadual imunisasi lengkap walaupun masa yang telah berlalu sudah melepasi jangka masa yang disyorkan.
Kajian menunjukkan bahawa walaupun orang tidak mematuhi jadual imunisasi dengan ketat vaksin tersebut mungkin masih berkesan. Namun begitu, anda dinasihatkan supaya mematuhi jadual yang disyorkan dengan sebaik mungkin supaya mendapat perlindungan yang sepenuhnya.

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
6 tahun
Selamat petang! Terima kasih kerana bertanyakan soalan.
Vaksin HPV merupakan sejenis vaksin yang digunakan untuk mencegah jangkitan HPV. Vaksinasi HPV biasanya diberi dengan cara suntikan. Secara amnya, vaksinasi HPV akan diberi dalam 3 dos untuk mencapai kesan yang terbaik untuk mencegah jangkitan HPV.
Dos kedua vaksin HPV biasanya diberi 2 bulan selepas dos pertama dan dos ketiga vaksin HPV akan diberi 4 bulan selepas dos kedua atau 6 bulan selepas dos pertama.
Kajian telah menunjukkan bahawa dos kedua dan ketiga vaksin HPV masih memberikan perlindungan yang berkesan terhadap jangkitan HPV walaupun pesakit telah lewat menerima suntikan HPV tersebut.
Jika anda seorang pelajar sekolah, anda boleh berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan kerajaan atau Klinik Nur Sejahtera LPPKN untuk mendapatkan dos kedua dan ketiga vaksin HPV.
Jika anda bukan lagi seorang pelajar sekolah, anda boleh mengunjungi Klinik Nur Sejahtera LPPKN atau klinik swasta untuk mendapatkan vaksinasi tersebut.
Pastikan anda mendapatkan semua dos vaksin HPV secepat mungkin untuk memperoleh perlindungan yang terbaik dari jangkitan virus HPV.