Zaida
5 tahun
Bolehkah ambil ubat perancang setelah gunakan alat iud?
sy ingin bertanya, boleh ke ubat perancang keluarga di ambil sekiranya telah menggunakan alat iud?
5 tahun
Terima kasih untuk soalan anda. Jawapannya adalah ya, alat kontraseptif intra-rahim (IUD) boleh digunakan bersama-sama pil perancang keluarga. Walau bagaimanapun, ini bukan praktis yang biasa dan seseorang patut mempunyai tujuan yang tertentu sebelum gabungan ini digunakan.
Terdapat 2 jenis IUD iaitu IUD yang mengandungi kuprum dan IUD yang melepaskan hormon progestin. IUD yang mengandungi kuprum menyebabkan tindak balas keradangan di dalam rahim untuk menghalang sperma daripada mencapai saluran falopian untuk mensenyawakan telur. IUD yang melepaskan hormon progestin pula bertindak dengan meningkatkan sekatan lendir di dalam rahim untuk melambatkan pergerakan sperma dan menghalang pembentukan lapisan rahim bagi menghalang telur yang telah disenyawakan daripada ditanam pada dinding rahim.
Oleh sebab IUD yang mengandungi kuprum tidak mengandungi sebarang hormon, ia lebih selamat digabungkan bersama pil perancang keluarga jika dibandingkan dengan IUD yang melepaskan hormon. Ini adalah kerana penggunaan pil perancang yang mengandungi hormon bersama IUD yang melepaskan hormon boleh meningkatkan tahap hormon dan meningkatkan risiko bagi kesan-kesan sampingan.
Buat pengetahuan anda, IUD adalah salah satu kontraseptif yang terbaik dengan keberkesanan lebih daripada 99% dan juga lebih berkesan daripada pil perancang keluarga. Biasanya, pil perancang tidak lagi akan diteruskan sekiranya sudah mempunyai IUD. Anda patut berbincang dengan doktor anda dan pertimbangkan risiko dan manfaat anda sebelum menggunakan gabungan kontraseptif-kontraseptif ini.
5 tahun
Salam sejahtera,
IUD, atau intrauterine device, merupakan sejenis alat pencegah kehamilan yang sangat berkesan. Kehamilan hanya berlaku pada kurang dari 1% dalam kalangan wanita yang menggunakan IUD. Jika anda hanya menggunakan IUD untuk mencegah kehamilan, anda tidak memerlukan pil perancang keluarga.
Terdapat dua jenis IUD di pasaran sekarang, iaitu IUD tembaga dan IUD hormon seperti Mirena. IUD tembaga hanya mencegah kehamilan manakala IUD hormon boleh mengurangkan gejala perdarahan haid berlebihan dan senggugut selain mencegah kehamilan. Jika anda mengalami gejala perdarahan berlebihan, senggugut, jerawat berlebihan atau emosi yang tidak stabil semasa haid datang, anda boleh menggunakan IUD hormon untuk mengurangkan gejala-gejala di atas di samping mencegah kehamilan. Jika anda menggunakan IUD tembaga, maka anda digalakkan mengambil pil perancang keluarga untuk membantu melegakan ketidakselesaan semasa haid datang kerana IUD tembaga tidak mengandungi sebarang hormone yang membantu melegakan gejala haid.