
Khairy
6 tahun
Badan saya semakin berat selepas ambil steroid. Adakah ia akibat kolesterol tinggi?
Saya merupakan seorang pesakit rheumatoid atritis dan salah satu daripada ubat yang doktor bagi adalah steroid. Saya dengan steroid ni ada kesan sampingan badan akan menjadi semakin berat. Kolestrol tinggi ke tu yang buat saya semain gemuk? Ada tak cara yang boleh saya buat supaya badan saya tak bertambah terlalu banyak?

6 tahun
Salam sejahtera.
Rheumatoid arthritis merupakan penyakit autoimmune sistemik yang sering menyebabkan gejala seperti sendi yang sakit dan bengkak, mata merah, keletihan dan kesusutan berat badan. Terdapat pelbagai ubat yang boleh digunakan untuk merawat keradangan sendi dan salah satu ubat tersebut ialah ubatan steroid seperti prednisolone.
Ubatan steroid merupakan sejenis ubat yang mengurangan keradangan. Walaupun ubatan steroid merupakan ubat yang sangat berkesan untuk menghilangkan keradangan, penggunaan steroid untuk jangka masa yang lama akan mendatangkan pelbagai jenis kesan yang negatif seperti kerapuhan tulang, berat badan berlebihan, kencing manis, darah tinggi, jangkitan kulat, kulit yang nipis dan senang luka, katarak mata dan keguguran rambut.
Penggunaan steroid boleh menyebabkan kolesterol tinggi. Kolesterol tinggi sering dikaitkan dengan berat badan berlebihan dan penyakit lain seperti kencing manis dan darah tinggi. Untuk mengurangkan kolesterol dan berat badan anda, anda digalakkan untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat. Tingkatkan pemakanan buah, sayuran dan ikan dan kurangkan makanan manis, bergula, berminyak, bergoreng dan terproses. Kira pengambilan kalori setiap hari dan pastikan ia tidak melebihi sukatan yang dicadangkan.
Senaman untuk sekurang-kurang 1 jam setiap hari adalah sangat digalakkan. Senaman boleh mengurangkan berat badan dan mengelakkan tulang daripada menjadi rapuh. Elakkan merokok. Hidup dengan pemikiran positif dan kurangkan stres dalam kehidupan anda. Jika anda risau, anda boleh berbincang dengan doktor anda untuk bertukar kepada ubat lain yang tidak menyebabkan berat badan berlebihan.

6 tahun
Hai dan terima kasih kerana mengajukan soalan anda.
Penggunaan kortikosteroid membawa banyak kesan sampingan. Steroid dikategorikan sebagai racun terkawal dimana pengambilannya hanya dibenarkan dengan preskripsi doktor. Antara kesan sampingan penggunaan steroid ialah:
• Pertambahan berat badan yang mendadak
• Keguguran rambut
• Masalah jerawat
• Kulit menjadi nipis dan menyebabkan ia mudah luka
• Pening dan mual
• Ulser di perut dan usus
• Kerosakan buah pinggang
• Risiko penyakit kencing manis dan darah tinggi
• Tulang rapuh
• Pembatutan pertumbuhan untuk kanak-kanak
• Katarak
Selalunya doktor tidak akan mengesyorkan penggunaan kortikosteroid secara perpanjangan kerana senarai kesan sampingan yang panjang. Dalam keadaan anda, anda mengalami rheumatoid arthritis yang menyebabkan keradangan dan anda memerlukan penggunaan kortikosteroid yang berpanjangan.
Untuk mengelakkan penambahan berat yang mendadak, anda digalakkan mengamalkan diet yang sihat dengan mengawasi pengambilan kalori anda. Anda juga digalakkan meningkatkan kadar senaman setiap minggu untuk mengimbangi kenaikan selera anda. Sekiranya anda berasa kenaikan badan anda terlalu mendadak, anda patut berjumpa dengan doktor anda untuk menilai sama ada anda boleh mengurangkan dos steroid anda ataupun memberhentikannya sekiranya anda tidak memerlukannya.