Sulit
4 tahun
Cara kurangkan kolestrol
Macam mana nak kurangkan kolestrol. Ada orang cakap minum air lemon suam. Tq
Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Salam sejahtera, terima kasih atas soalan yang diajukan.
Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Sila klik pada link ini (DoctorOnCall)untuk bercakap dengan pihak kami.
Masalah kolesterol tinggi boleh dielakkan melalui beberapa cara. Pertama sekali, makan secara sihat. Kurangkan pengambilan lemak tepu dan lemak trans. Pengambilan lemak tepu yang berlebihan boleh meningkatkan tahap kolesterol LDL (“jahat”). Ia berbentuk pepejal di bawah suhu sejuk.
Contoh sumber lemak tepu ialah susu dan hasil tenusu penuh lemak dan santan. Contoh sumber lemak trans ialah marjerin, makanan sejuk beku, makanan segera, makanan bergoreng dan produk bakeri. Kurangkan pemgambilan makanan tinggi kolesterol. Pengambilan makanan tinggi kolesterol yang berlebihan boleh meningkatkan tahap kolesterol LDL (‘jahat’).
Pengambilan organ dalaman seperti hati, jantung dan ginjal perlu dielakkan. Makanan laut seperti sotong, udang, ketam dan kerang-kerangan harus diambil secara tidak berlebihan. Masak dengan minyak sayuran seperti minayk zaitun dan minyak bunga matahari. Tingkatkan pengambilan serat. Serat makanan boleh membantu menurunkan tahap kolesterol. Sumber serat yang baik termasuk hasil bijirin mil penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Seterusnya, lakukan aktiviti fizikal ringan hingga sederhana sekurang-kurangnya 30 minit sehari, 5 kali seminggu ataupun aktiviti yang berintensiti tinggi 20 minit 3 kali seminggu. Contoh aktiviti fizikal yang boleh dilakukan adalah berjalan laju, berbasikal, dan berenang.
Anda juga harus mengekalkan berat badan yang ideal. Obesiti boleh meningkatkan kolesterol LDL (“jahat”) dan menurunkan kolesterol HDL (“baik”). Oleh itu, anda harus mengamalkan pemakanan yang seimbang dan melakukan aktivit fizikal. Penurunan berat badan yang disyorkan pada peringkat permulaan adalah sebanyak 10% daripada berat badan asal dalam tempoh 6 bulan.
Bukan itu sahaja, berhenti merokok kerana ia boleh menjejaskan saluran darah dan menurunkan tahap kolesterol HDL (“baik”). Ini akan meningkatkan risiko anda untuk mendapat penyakit jantung. sekiranya anda merokok, anda boleh berhenti dengan kaedah-kaedah seperti terapi gantian nikotin, dapatkan sokongan dan menjauhkan diri dari tempat orang merokok.
Sila klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami secara peribadi melalui atas talian. Terima kasih.