Ardell
5 tahun
Terangkan tentang insomnia
Apakah itu insomnia Dr?
5 tahun
Salam sejahtera. Terima kasih kerana bertanyakan soalan.
Diharap saya dapat menjawab soalan yang diajukan. Insomnia adalah suatu keadaan dimana seseorang individu mempunyai masalah tidur. Individu yang terjejas dengan penyakit ini akan mendapati diri mereka sama ada mempunyai kesukaran untuk tidur, kekal di dalam tidur ataupun rasa tidur yang tidak cukup dan puas. Tiada sebarang ukuran yang objektif bagi memastikan tempoh tidur yang cukup untuk manusia biasa walaupun secara umumnya kita dinasihtakan untuk mendapat tidur antara 6-8 jam sehari.
Penyakit insomnia ini berlaku apabila terdapat kekacauan di dalam tindakan mahupun penghasilan melatonin. Bahan kimia semulajadi ini bertanggungjawab bagi mengawal kitaran tidur normal untuk seseorang manusia. Sekiranya jumlah yang dihasilkan tidak cukup, atau pun terdapat masalah dalam fungsi melatonin itu, kitaran akan terganggu seterusnya membawa kepada masalah tidur.
Simptom-simptom yang biasa didapati dari individu yang terkesan dari insomnia ini adalah:
- Kesukaran untuk tidur dan kekal di dalam tidur
- Letih dan mengantuk pada siang hari
- Menjadi pelupa dan tidak dapat berfikir dengan tepat
- Menjadi murung, cepat marah dan resah
- Mempunyai tenaga yang sedikit
- Tidak mempunyai minat dalam melakukan sesuatu perkara
- Sering menjadi cuai, mengakibatkan kemalangan yang boleh dielakkan dengan mudah
- Sentiasa risau akan jumlah tidur yang sedikit
Adakalanya, perkara yang dinyatakan ini boleh menjadi sangat serius sehingga menjejaskan kualiti kerja dan hubungan dia antara penghidap insomnia dan orang di sekelilingnya.
Adalah dinasihatkan untuk segera berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan untuk situasi ini.
5 tahun
Salam sejahtera dan terima kasih untuk soalan anda.
Secara umumnya, insomnia merupakan ketidakupayaan untuk mendapatkan tidur yang secukupnya atau kesukaran untuk masuk tidur selepas berbaring di atas katil. Insomnia juga boleh merujuk kepada perasaan subjektif di mana seseorang itu berasa tidak puas walaupun telah diberi peluang untuk tidur dengan secukupnya.
Antara tanda-tanda insomnia adalah pengambilan jangka masa yang panjang dari masa melelapkan mata sehingga tidur, tidur yang tidak nyenyak, sering bangun awal daripada masa yang biasa dan keletihan dan perasaan mengantuk pada waktu siang.
Seseorang yang mengalami insomnia digalakkan untuk mengamalkan tabiat tidur yang baik (sleep hygiene) seperti:
• Bangun dan tidur pada waktu yang tetap
• Kurangkan tidur pada waktu siang
• Tidak menggunakan telefon dan komputer serta menonton televisyen satu jam sebelum tidur
• Bersenam pada waktu siang dan bukan sebelum tidur
• Tidak mengambil makan malam yang berat
• Memakai pakaian serta menggunakan katil yang sesuai untuk tidur
• Gunakan bilik tidur untuk tidur dan hubungan kelamin sahaja dan bukan untuk aktiviti lain
Jika menukar tabiat tidur tidak berkesan, maka seseorang itu digalakkan untuk berjumpa dengan doktor.