Sulit
2 tahun
Adakah terdedah hiv
Adakah tinggi risiko saya jika saya bercium mulut Yang mendalam dengan pasangan sekiranya keduanya mempunyai ulser.tetapi pasangan bebas Dari hiv.
2 tahun
Salam sejahtera,terima kasih atas soalan anda.
Berdasarkan pertanyaan anda di atas, saya memahami bahawa anda berasa bimbang tentang masalah anda berkaitan pendedahan terhadap penyakit HIV. Saya akan cuba untuk membantu.
Untuk makluman anda, seseorang itu boleh dijangkiti HIV dengan penularan virus melalui beberapa cara iaitu:
- Cecair badan. Cecair badan yang dimaksudkan adalah:
- Darah
- Air mani atau cecair pra mani iaitu air mazi
- Cecair faraj
- Cecair rektum
- Susu ibu
- Air ketuban
Manakala, cecair badan yang lain seperti air mata, air liur dan peluh tidak menyebarkan virus. Virus HIV daripada seseorang yang telah dijangkiti harus memasuki sel darah putih seseorang yang lain untuk hidup. HIV hanya boleh memasuki badan seseorang apabila cecair badan seperti darah, air mani dan cecair faraj seseorang yang masuk ke dalam saluran darah melalui luka pada kulit atau lapisan mukosa.
- Hubungan seksual:
- Hubungan seksual (faraj atau dubur)
HIV boleh menjangkiti melalui selaput lendir pada faraj (vagina) atau dubur (anal) secara langsung atau masuk melalui luka yang mungkin terjadi dan tidak disedari berlaku akibat hubungan kelamin. Justeru, hubungan seksual samada melalui faraj dan dubur sangat berisiko tinggi menularkan jangkitan HIV ini. - Hubungan seksual oral
Risiko penularan HIV melalui tekak, gusi, dan membran/tisu di dalam mulut adalah lebih rendah berbanding faraj atau dubur. Walaupun risikonya lebih rendah, tetapi ia tidak mustahil berlaku.
- Penyebaran Daripada Ibu Kepada Anak
Tanpa rawatan pencegahan HIV semasa proses kehamilan, ibu mengandung yang dijangkiti boleh menyebarkan virus kepada anak samada sewaktu dalam kandungan, semasa bersalin atau melalui penyusuan. - Perkongsian Jarum Suntikan
Jarum suntikan terpakai yang dikongsi juga boleh menjadi medium penyebaran virus HIV ini dari satu pesakit ke perumah yang baru. Sebagai contoh, jika rakan anda mempunyai HIV dan telah menggunakan jarum suntikan, kemudian anda memakai jarum suntikan yang telah digunakan oleh rakan anda tersebut, darah kawan anda yang dijangkiti HIV boleh masuk kedalam badan anda dan bercampur dengan darah anda. Secara tidak langsung, anda juga berisiko untuk dijangkiti HIV. - Makanan Pra-Kunyah Untuk Bayi
Walaupun tidak begitu kerap berlaku, terdapat kes bayi yang dijangkiti HIV berpunca daripada pengasuh yang positif HIV mengunyah makanan (atau memanaskannya di mulut mereka) dan kemudian memberi makanan kepada bayi. Jangkitan ini tersebar berkemungkinan apabila pengasuh mempunyai luka di dalam mulut atau gusi berdarah dan memindahkan virus ini kepada bayi melalui makanan atau air liurnya yang tercemar dengan virus tersebut.Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengesyorkan agar pengasuh yang dijangkiti HIV tidak mengunyahkan makanan untuk bayi. Akan tetapi, HIV tidak tersebar dengan makan makanan yang disediakan oleh seseorang yang menghidap HIV. - Transfusi Darah
Penularan HIV boleh berlaku melalui penerimaan organ atau transfusi darah daripada orang yang dijangkiti HIV. Sehubungan itu, penghidap HIV dilarang menderma darah. Kini proses pendermaan darah dan organ juga dipantau dan disaring dengan ketat untuk memastikan bekalan darah dan organ adalah selamat. - Ciuman Mulut
Walaupun ianya sangat jarang berlaku, namun ada kemungkinan HIV dapat ditularkan melalui ciuman mulut yang terbuka dan mendalam. Meskipun virus tidak dapat merebak melalui air liur, penularan dapat terjadi jika adanya darah. Hal ini boleh berlaku apabila kedua-dua pasangan mengalami masalah gusi berdarah atau luka di dalam mulut. - Tatu dan Tindik
Menurut CDC, belum ada laporan kes jangkitan HIV melalui lukisan tatu dan menindik. Namun begitu, secara teknikalnya, kemungkinan penyebaran virus boleh berlaku jika terdapat perkongsian atau penggunaan semula bagi peralatan seperti jarum tatu atau tindik. - Pekerjaan
HIV boleh merebak melalui kecederaan yang tidak disengajakan semasa melakukan pekerjaan, contohnya kakitangan perubatan yang terluka sewaktu pembedahan atau prosedur lain yang melibatkan pesakit HIV. - Gigitan Pada Kulit
Gigitan pada kulit boleh menyebarkan HIV jika gigitan tersebut menyebabkan luka dan pendarahan. Namun, menurut CDC, hanya terdapat sedikit sahaja kes gigitan manusia yang menyebabkan trauma pada kulit dan menyebabkan penularan HIV.
Merujuk kepada soalan yang anda ajukan,sekiranya kedua-dua orang bebas dari HIV maka anda tidak perlulah risau tentang risiko HIV.
Oleh itu, saya menyarankan anda supaya merujuk kepada doktor untuk mendapat maklumat yang tepat. Anda boleh berhubung dengan doktor kami secara atas talian untuk mendapat maklumat serta rawatan yang lebih lanjut.
Saya berharap agar jawapan ini dapat membantu anda. Terima kasih.