
Sulit
3 tahun
Bagai mana lah saya nak hasil kan susu badan…untuk anak angkat
Bagai mana saya nak buat bagi saya ada susu badan…untuk anak angkt saya…

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
3 tahun
Salam sejahtera,
Terima kasih kerana memilih kami untuk mendapatkan maklumat.
Berdasarkan penerangan yang telah diberi, anda ingin mengetahui tentang proses pencetusan laktasi. Saya akan cuba membantu sebaik mungkin.
Berikut adalah beberapa perkara yang patut anda jangka dan tahu sebelum bercadang untuk memulakan cetusan penyusuan susu ibu:
Berjumpa dengan Perunding Laktasi/Kaunselor Penyusuan untuk sesi kaunseling
Adalah lebih baik sekiranya anda dapat berjumpa dengan mereka ini seawal yang mungkin sebelum ketibaan bayi angkat anda. Kami amat menggalakkan anda untuk berjumpa sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum kelahiran bayi angkat anda. Ini untuk memastikan anda tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan dan mempunyai masa yang cukup untuk menyediakan diri untuk proses cetusan penyusuan atau laktasi. Sekiranya bayi angkat anda telah dilahirkan, jangan bimbang; proses cetusan laktasi masih boleh dilakukan tetapi sekiranya datang berjumpa lebih awal, peratus kejayaan adalah lebih tinggi.Persediaan fizikal dan mental
Anda dan pasangan harus membuat persediaan dari segi fizikal iaitu anda harus bersedia untuk membeli pam payudara untuk memudahkan proses cetusan laktasi. Anda juga harus bersedia dari segi mental di mana anda harus mempunyai motivasi dan kekuatan semangat untuk menjayakan penyusuan susu ibu.Mengetahui tentang proses cetusan laktasi
Ibu-ibu yang berminat untuk penyusuan anak angkat selalunya akan melalui 3 fasa cetusan laktasi. Fasa pertama adalah penyediaan payudara untuk penyusuan dengan mengambil pil perancang. Pil perancang ini adalah untuk memastikan payudara ibu mengalami perubahan seperti ibu-ibu yang mengandung. Semasa ini juga ibu akan diberi ubat penambah susu yang perlu diambil setiap hari bersama pil perancang tersebut.Fasa kedua adalah fasa pemberhentian pil perancang dan meneruskan pengambilan pil penambah susu selepas berlaku perubahan payudara.
Pada fasa ketiga pula, ibu haruslah mengepam payudara untuk proses pengeluaran susu. Ketika ini susu mungkin belum kelihatan tetapi dengan kekerapan pengepaman dan stimulasi urutan payudara akan membantu penghasilan dan pengaliran susu ibu lebih cepat.
Fasa terakhir adalah pemberian susu ibu kepada bayi angkat samada secara penyusuan terus dari payudara atau penggunaan botol. Apabila susu mula dihasilkan, ibu-ibu boleh mengumpul dan menyimpan susu tersebut untuk diberi kepada bayi. Ibu- ibu yang ingin menyusukan anak angkat juga boleh menggunakan alat bantuan penyusuan seperti ‘Supplementary Nursing System’ untuk membantu dalam penghasilan susu melalui penghisapan bayi angkat secara terus pada payudara untuk meningkatkan penghasilan susu dan mengeratkan hubungan.
Antara cabaran yang mungkin dihadapi ialah:
- Kekurangan sokongan daripada orang sekeliling
- Kesuntukan dan kekangan masa untuk mengepam
- Motivasi diri yang tidak konsisten
- Ilmu penyusuan yang tidak mencukupi
- Penolakan penyusuan di payudara oleh bayi angkat yang sudah berumur lebih dari 1 bulan
Kesimpulannya, sekiranya anda bercadang untuk mengambil anak angkat dan ingin menyusukan bayi angkat anda, segeralah berjumpa dengan doktor, kaunselor laktasi atau perunding laktasi untuk membantu anda merealisasikan impian anda. Cetusan penyusuan atau laktasi memerlukan kesabaran yang tinggi dan usaha yang bukan sedikit. Namun begitu, ia mampu direalisasikan dan telah berjaya dilakukan oleh ramai wanita di seluruh dunia.
Saya berharap saya telah menjawab pertanyaan anda, namun sekiranya anda mempunyai pertanyaan lain atau ingin berbincang tentang masalah ini dengan lebih terperinci, anda boleh menghubungi doktor atau pakar kami secara atas talian. Terima kasih.
Klik di sini untuk bercakap dengan doktor.