
Sulit
3 tahun
Tidak datang haid selama 2 bulan lebih
Saya remaja umur 17 tahun tidak datang haid selama 2 bulan lebih. Saya ingin bertanya apakah itu normal atau berbahaya atau berpenyakit? Saya ingin tahu sekiranya darah kotor itu tidak keluar, di manakah ia berada? Akankah ia menjadi darah beku? Saya sangat risau, apa yang perlu saya lakukan? Selain itu saya juga hampir setiap hari mengalami keguguran rambut, kenapa bgitu?

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
3 tahun
Salam sejahtera, terima kasih kerana menghubungi kami.
Kami faham masalah yang anda alami. Berdasarkan kenyataan anda, terdapat beberapa sebab yang boleh menyebabkan anda mengalami masalah sedemikian, seperti:
- Kehamilan
- Sindrom polisistik ovari atau PCOS
- Ketidakstabilan hormon
- Masalah kelenjar tiroid atau pituitari
- Berat badan: Berat badan berlebihan dapat mengganggu kitaran haid seseorang
- Umur: Golongan remaja dan wanita perimenopaus seringkali mengalami masalah haid tidak teratur
- Tekanan emosi atau stres
- Penggunaan perancangan keluarga seperti pil perancang
- Penggunaan ubat-ubatan
Sebagai maklumat tambahan, kitaran haid seorang wanita yang normal adalah di antara 21 hingga 34 hari dan tempoh aliran atau pendarahan pula di antara 2 hingga ke 7 hari. Anda juga digalakkan untuk merekod kitaran haid anda supaya ia boleh menjadi rujukan anda dan doktor pada masa hadapan.
Untuk maklumat anda, sekiranya darah haid tidak dikeluarkan, ia hanya akan berada di dalam rahim sahaja dan akan menyebabkan penebalan rahim. Darah beku yang dikeluarkan semasa haid tidak berbahaya dan hanya akan dikeluarkan dalam bentuk ketulan.
Selain itu, sila berjumpa dengan doktor segera sekiranya anda mengalami gejala ini:
- Terdapat perubahan pada suara anda
- Tumbuh bulu di kawasan yang tidak sepatutnya seperti misai, di belakang atau dada
- Ketidakselesaan atau kembung perut
Ini hanyalah keterangan kami secara am mengenai masalah anda. Perkara ini memerlukan perhatian anda dan juga doktor. Oleh itu, kami sarankan anda untuk berjumpa dengan doktor supaya pemeriksaan dapat dilakukan dan rawatan dapat diberikan kepada anda.
Sekiranya anda mempunyai soalan lanjut, sila hubungi kami di (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan doktor kami secara peribadi. Terima kasih.