Priya
6 tahun
Adakah ayah saya akan dapat serangan jantung?
Doktor, ayah saya baru sahaja disahkan menghidap darah tinggi. dan doktor tak bagi ubat cuma cakap jaga makan dan exercise sahaja dulu. Saya risau tentang keadaan jantung dia. Ada kemungkinan tak ayah saya dapat serangan sakit jantung?
5 tahun
Hai dan terima kasih kerana mengemukakan soalan anda.
Terdapat banyak faktor risiko yang menyebabkan hipertensi. Faktor risiko diklasifikasikan dalam faktor risiko yang boleh diubah suai dan tidak boleh diubah suai. Faktor risiko yang tidak dapat diubahsuai ialah faktor yang anda tidak boleh berubah untuk mengurangkan risiko anda. Contoh faktor risiko yang tidak boleh diubah adalah umur, jantina, kaum atau etnik, dan sejarah keluarga. Faktor-faktor risiko yang boleh diubahsuai adalah faktor-faktor yang anda dapat mengawal untuk mengurangkan risiko anda mengalami hipertensi. Faktor risiko ini adalah diet yang tidak sihat, tidak aktif secara fizikal, obesiti, pengambilan alkohol yang berlebihan dan penggunaan tembakau. Terdapat beberapa kategori tekanan darah tinggi:
Normal: <120/80 mmHg
Prahipertensi: 120-139/80-89 mmHg
Hipertensi tahap 1: 140-159/90-99 mmHg
Hipertensi tahap 2: 160-179/100-109 mmHg
Hipertensi tahan 3: >180/110 mmHg
Mengikut garis panduan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, sekiranya tekanan darah di bawah 160/100 mmHg, anda akan dinasihatkan untuk mengubah gaya hidup anda untuk mengawal tekanan darah. Anda akan dinasihatkan untuk kembali untuk meyemak tekanan darah tinggi selepas 3-6 bulan.
Sekiranya tekanan darah masih tidak berkurang, doktor akan memberi ubat anti-hypertensi. Rawatan yang terbaik ialah mengubah cara hidup anda kerana ubat darah tinggi mempunyai kesan sampingannya. Anda juga perlu mengikuti temu janji untuk memastikan tiada komplikasi darah tinggi. Sekiranya anda seorang yang menjalani gaya hidup yang tidak aktif, sudah tiba masanya untuk mengubahnya. Senaman tiga kali seminggu selama 30 minit dan mengekalkan berat badan yang sihat dalam julat indeks jisim badan (BMI) anda.
5 tahun
Salam sejahtera. Darah tinggi, atau hypertension merupakan sejenis penyakit kronik yang boleh menyebabkan banyak komplikasi dan maut sekiranya tidak dirawat dengan awal. Dianggarkan bahawa 35% rakyat Malaysia mempunyai darah tinggi tetapi kurang dari separuh dari golongan tersebut tahu bahawa mereka telah menghidap darah tinggi. Oleh itu, pengesanan dan rawatan awal adalah sangat penting untuk pesakit darah tinggi.
Berdasarkan kenyataan di atas, ayah anda masih berada dalam peringkat awal. Doktor yang memeriksa ayah anda telah mendapati bahawa buat masa sekarang ayah anda tidak memerlukan ubat darah tinggi. Darah tinggi dalam peringkat awal boleh dikawal dengan pemakanan yang sihat serta senaman. Pemakanan sihat dan senaman juga boleh mencegah penyakit lain seperti ketinggian kolesterol, kencing manis dan sakit jantung. Namun demikian, darah tinggi merupakan sejenis penyakit yang tidak boleh disembuhkan. Jika pemakanan sihat dan senaman gagal mengawal tekanan darah ayah anda dalam paras yang sihat, ayah anda akan diberi ubat darah tinggi untuk mengawal tekanan darah.
Anda boleh berjumpa dengan doktor untuk menjalankan pemeriksaan dan ujian yang selanjutnya untuk memeriksa kesihatan jantung ayah anda. Jika pemeriksaan adalah normal dan ayah anda mengamalkan gaya hidup yang sihat serta mengambil ubatan seperti yang telah disyorkan, risiko penyakit jantung bagi ayah anda akan menjadi rendah.
5 tahun
Hai, terima kasih atas soalan yang anda kemukakan.
Julat bacaan tekanan darah yang normal bagi seorang dewasa adalah sistolik lebih rendah dari 120 mmHg atau tekanan diastolic lebih rendah dari 80 mmHg. Sekiranya tekanan darah seseorang adalah lebih tinggi dari julat normal tetapi tidak melebihi 140/90, makai a digelar pra-hypertensi. Penyakit darah tinggi juga terbahagi kepada beberapa tahap.
Tahap pertama : sistolik 140-159mmHg, diastolic 90-99mmHg
Tahap kedua : sistolik 160mmHg keatas, diastolic 100mmHg ke atas
Tekanan darah seseorang yang disyaki menghidap darah tinggi akan dipantau sekurangnya untuk 24 jam sebelum diagnosis dibuat. Namun begitu, jika pesakit mempunyai bacaan tekanan darah tinggi melebihi 180/120, rawatan segera haruslah diberikan kerana ia boleh membahayakan nyawa pesakit.
Rawatan darah tinggi adalah tertakluk kepada beberapa faktor iaitu umur, tekanan darah tinggi pesakit, risiko penyakit jantung, dan risiko kerosakan organ seperti buah pinggang dan mata. Bagi pesakit darah tinggi yang mempunyai tekanan darah kurang dari 160/100 tanpa risiko penyakit jantung dan kerosakan organ lain, serta umur kurang dari 50 tahun, rawatan yang terbaik adalah dengan merubah gaya hidup kepada yang lebih sihat seperti banyakkan bersenam, menjaga pemakanan yang seimbang tidak merokok dan menurunkan berat badan sekiranya perlu.
Penyakit darah tinggi sememangnya membawa risiko sakit jantung, namun jika dirawat dan amalan hidup sihat boleh mengurangkan risiko tersebut.