
Sulit
4 tahun
Hampir 7 tahun mendapatkan suntikan steroid untuk ekzema
Hi doktor. Berikut merupakan soalan yang saya ragu ragu sehingga kini tentang efek ke atas tubuh badan. Saya seorang perempuan berumur 25 tahun dan belum berkahwin. Apakah efek suntikan steroid terhadap wanita selepas berkahwin? Saya kerap mendapatkan suntikan steroid di klinik sejak 7/8 tahun sehingga kini. Dan apakah akan ada komplikasi terhadap kandungan jika saya sudah berkahwin nanti? Terima kasih.

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Salam sejahtera, terima kasih atas soalan yang dituju.
Kami memahami kebimbangan anda mengenai pengguna suntikan steroid yang digunakan untuk merawat masalah Ekzema anda dan kesan tersebut pada kehamilan anda pada masa kelak nanti. Untuk makluman anda, suntikan steroid atau penggunaan steroid secara umumnya ini boleh memberi kesan sampingan yang minima jika dos yang diberi adalah terkawal dan dipantau. Namun, penggunaan steroid secara berpanjangan boleh memberi kesan sampingan kepada kesihatan umum anda dan juga kehamilan anda, khususnya kesihatan seksual anda.
Terdapat beberapa kesan sampingan penggunaan steroid yang berpanjangan iaitu:
- Mudah lebam
- Mudah dijangkiti kuman atau virus, menyebabkan anda kerap demam.
- Tekanan darah tinggi.
- Kulit menjadi lebih nipis
- Gejala katarak mata
- Osteoporosis, iaitu penyakit penipisan tulang
- Risiko diabetes (kencing manis) meningkat
- Mudah mendapat jangkitan kulat pada mulut dan kelamin.
- Masalah kelenjar Adrenal yang berfungsi untuk mengawal kadar metabolisma anda.
Tingkatkan ketahanan sistem imun tubuh dengan mengambil makanan seimbang dan berkhasiat.
Mengenai kesan sampingan untuk kesihatan seksual anda, ia boleh menyebabkan yang berikut:
- Maskulinisasi (hilang ciri-ciri kewanitaan)
- Masalah haid tidak teratur atau kitaran haid yang tidak sihat.
- Masalah kesuburan
- Mudah mendapat jangkitan kuman atau keradangan pada organ reproduktif wanita seperti rahim dan serviks, terutama sekali ketika kehamilan.
- Jika penggunaan steroid di ambil pada waktu kehamilan (terpaksa atas kesihatan umum), maka terdapat risiko bahawa steroid tersebut boleh menjejaskan kesihatan janin anda.
Oleh itu, kami sarankan anda untuk berbincang lebih lanjut dengan doktor yang tengah merawat masalah kulit anda mengenai penggunaan suntikan steroid tersebut. Pastikan anda mempertimbangkan kebaikan dan risiko rawatan tersebut terhadap kesihatan diri anda.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tambahan, anda boleh klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami secara peribadi melalui atas talian bagi mendapatkan penerangan dan nasihat atau rawatan yang diperlukan. Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Terima kasih.