Sulit
3 tahun
Bagaimana melahirkan bayi yang telah meninggal dalam kandungan secara alami
Saya berusia 38 tahun , kini sedang hamil 12 minggu namun bayi dalam kandungan telah tiada ketika check up 5/10/2021 doktor beri masa selama 2 minggu untuk bayi keluar sendiri. Namun sehingga kini 13/10/2021 bayi masih belum keluar . Dalam masa sama saya juga bimbang sekiranya janin keluar di rumah , bimbang jika pendarahan berlebihan , dalam masa sama saya ingin mengelakkan D&C . Dan soalan seterusnya , janin masih tiada tanda untuk keluar , saya tiada rasa sakit , lemah atau pendarahan pada vagina , adakah selamat jika saya mengadakan hubungan badan bersama suami ? terima kasih atas jawapan.
Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
3 tahun
Salam Sejahtera,
Terima kasih atas pertanyaan anda.
Berdasarkan kenyataan maklumat di atas, kami memahami bahawa anda mengalami keguguran namun tiada lagi kesan janin keluar. Kami bersimpati dengan keadaan anda. Kini anda ingin tahu adakah selamat untuk melakukan hubungan intim dengan suami. Kami akan cuba untuk membantu anda.
Untuk makluman anda, kaedah rawatan yang diberikan kepada anda adalah kaedah tunggu dan lihat. Kaedah lain adalah medikal dan pembedahan. Doktor boleh tunggu dan lihat sehingga 2-4 minggu, namun setelah 4 minggu perlu dikeluarkan secara pembedahan.
Pada waktu ini, kami tidak menyarankan anda melakukan seks. Hal ini kerana, risiko untuk mengalami jangkitan pada waktu sebegini amat tinggi. Anda perlu tunggu sekurang-kurangnya 2 minggu setelah janin keluar untuk melakukan hubungan intim bersama suami anda atau memasukkan apa jenis objek ke dalam vagina.
Bagi maklumat lanjut, sila hubungi doktor kami secara atas talian. Harap jawapan ini membantu anda.
Terima kasih.