
Bunyamin
6 tahun
Sesak nafas dan batuk tidak henti
Saya sesak nafas dan batuk tidak henti henti .dada ketat sangat.dah pakai inhaler namun tidak berkesan.saya mempunyai asthma yang kronik dan banyak kali di rawat di hospital kerana serangan asthma yang teruk.

6 tahun
Terima kasih atas soalan anda.
Dari kenyataan anda di atas, anda mempunyai penyakit asma yang tidak dikawal. Terdapat pelbagai punca kepada penyakit asma yang tidak terkawal. Antara punca yang paling utama ialah tidak menggunakan ubat dan inhalar (alat sedut) dengan betul, serta regimen rawatan yang kurang berkesan. Untuk penyakit asma, biasanya doktor akan memberi dua jenis ubat, iaitu ubat steroid yang seharusnya diambil setiap hari, serta ubat membuka saluran pernafasan yang digunakan apabila mengalami serangan asma sahaja. Jika anda mengalami serangan asma, sila mendapatkan rawatan segera di jabatan kecemasan.
Asma merupakan penyakit yang tidak boleh sembuh, tetapi banyak pesakit yang mempunyai asma berjaya mengawal kondisi mereka dengan berjayanya. Kawalan penyakit asma kadang kala bukanlah senang tetapi anda perlu menggunakan regimen rawatan dengan betul untuk memperoleh kualiti hidup yang normal. Justeru itu, anda digalakkan untuk berjumpa dengan doktor secepat mungkin untuk mendapatkan nasihat tentang regimen rawatan yang paling sesuai untuk anda. Anda mungkin akan dirujuk kepada pakar respiratori yang akan memberi nasihat serta rawatan yang paling baik untuk anda. Rawatan untuk penyakit asma sentiasa ada dan selagi anda menggunakan ubat dengan betul, anda tidak akan mengalami gejala asma yang serius.
Penyakit asma merupakan penyakit yang boleh dikawal. Jika anda mendapatkan rawatan dengan segera, anda mempunyai peluang yang tinggi untuk hidup macam orang biasa. Walaupun anda mempunyai asma, anda digalakkan untuk bersenam untuk menjaga kesihatan badan. Namun demikian, elakkan bersenam di luar semasa cuaca sejuk atau bacaan indeks pencemaran udara adalah tidak sihat. Elakkan bahan-bahan yang boleh menyebabkan asma dan sentiasa ambil ubatan serta inhaler seperti yang telah disyorkan oleh doktor.

6 tahun
Salam sejahtera. Terima kasih untuk persoalan anda. Berdasarkan informasi yang anda beri kepada saya, iaitu sejarah kronik asma, kemasukan hospital berganda, sesak nafas, batuk yang tidak henti dan dada ketat, saya berpendapat yang anda sedang mengalami serangan asma. Ditambah pula dengan keadaan di mana inhaler anda tidak berkesan untuk melegakan simptom-simptom di atas, ia adalah amat penting untuk anda segera ke klinik atau hospital yang berdekatan. Sila jangan pandang ringan serangan asma kerana jika tidak dirawat dalam masa yang sesuai, ia boleh mengancam nyawa anda.
Untuk pengetahuan am, penyakit asma ini menjejaskan paru-paru. Saluran ke paru-paru akan membengkak dan menyempitkan saluran pernafasan. Apabila seseorang itu mengalami serangan asma, mereka akan mengadu seperti di atas dan juga ada bunyi wheezing (bunyi bersiul) apabila mereka bernafas. Penyakit ini tidak boleh dihalang tetapi ianya boleh dikawal. Terdapat faktor-faktor yang menjadikan keadaan ini tidak terkawal dan ianya berbeza untuk setiap individu. Secara umum, faktornya adalah seperti pendedahan kepada asap rokok, jangkitan selesema, stress, senaman, pendedahan kepada udara sejuk dan reaksi alahan kepada debu, bunga, karpet, bulu haiwan, makanan dan lipas.
Berikut entang tanda-tanda amaran serangan asma yang harus diketahui. Tanda-tandanya adalah sesak nafas, dada ketat, batuk tanpa henti, nafas berbunyi yang teruk, percakapan hanya ayat pendek, tahap kesedaran menurun dan juga bibir atau kuku menjadi kebiru-biruan. Jika anda mendapati anda dalam situasi yang anda ataupun seseorang di sekeliling ada menalami serangan asma, bantu mereka untuk duduk tegak dan menggunakan rescue inhaler. Secara amnya, pesakit asma ini akan selalu membawa inhaler itu dengan mereka. Jika simptom mereka menjadi semakin teruk atau tidak membawa ubat, sila bawa mereka ke hospital atau klinik yang berdekatan. Saya berharap anda segera sembuh.

6 tahun
Salam sejahtera. Terima kasih atas soalan anda. Daripada simptom anda, anda mempunyai serangan asma yang teruk dan tidak dapat dilegakan dengan penggunaan inhaler. Apabila anda mempunyai serangan asma sebegini, anda perlu pergi mendapat rawatan daripada hospital dengan segera.
Terdapat beberapa tanda-tanda yang memerlukan rawatan dengan segera, ini termasuk simptom kesesakan nafas yang merosot dengan cepat, tidak dapat bertutur dalam satu ayat yang lengkap, simptom anda tidak bertambah baik selepas penggunaan inhaler anda dan kesesakan bernafas walaupun melakukan aktiviti yang minimal. Daripada deskripsi anda, asma anda adalah tidak terkawal kerana mempunyai banyak episod asma yang teruk.
Terdapat beberapa faktor yang perlu diberikan perhation untuk mengawal simptom-simptom asma anda dengan lebih efektif. Antara faktor-faktor tersebut termasuk penggunaan ubat asma dengan betul, pengelakkan pencetus-pencetus asma, gaya hidup yang sihat dan keseriusan kondisi anda. Inhaler perlu digunakan mengikuti dos dan masa yang disyorkan oleh doktor anda. Ia memerlukan teknik pernafasan yang betul untuk memaksimakan ubat yang anda sedut ke dalam paru-paru anda.
Selain itu, elakkan pencetus-pencetus yang boleh mengakibatkan asma contohnya alergen seperti debunga dan hama habuk, perengsa seperti asap rokok dan sesetengah ubat yang anda boleh mempunyai alahan seperti aspirin dan acetaminophen. Gaya hidup yang sihat juga disyorkan dalam pengawalan asma anda termasuk pengurangan stres, pemakanan yang seimbang, sihat dan senaman aerobik.