
Sulit
4 tahun
Jari kecut, kasar dan hampir menggelupas apabila tangan terkena air
Saya wanita berusia 20 tahun, seorang pelajar universiti awam. Saya mempunyai masalah apabila kulit jari saya terkena air. Jari saya menjadi kecut, sangat kasar dan hampir menggelupas apabila terkena air ketika mengambil air wuduk untuk solat. Ia tidak memerlukan masa yang lama. Ia juga berlaku jika saya hanya mencuci tangan dan pinggan kotor. Kawan dan abang saya menyatakan itu adalah allergic air. Tetapi saya perlukan orang yang lebih berpengetahuan mengenai perkara ini. Adakah doctor tahu masalah yang sedang saya hadapi?

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Salam sejahtera, terima kasih atas soalan yang dituju.
Untuk makluman anda, masalah kulit jari yang mengecut, kasar dan menggelupas jika terkena air boleh disebabkan oleh beberapa penjelasan dan faktor seperti:
- Suhu air yang digunakan tidak sesuai dengan kulit anda. Kulit kering lebih mudah terkupas pada musim sejuk jika anda kerap menggunakan air panas.
- Kerap membasuh tangan atau kerap menggunakan sabun, sehingga boleh menyebabkan lapisan kalis air pada kulit menjadi terhakis dan menggelupas.
- Penggunaan produk seperti sabun, shampoo, atau minyak wangi yang boleh menjadi alahan pada kulit anda.
- Pendedahan kulit pada suhu yang ekstrim seperti pada musim kering dan panas atau musim sejuk.
- Alahan pada kulit
- Ekzema
- Kekurangan vitamin B-3 (niacin) yang boleh menyebabkan penyakit kulit iaitu Pellagra.
- Terlalu banyak kandungan vitamin A dalam badan sehingga menjadi toksik pada badan.
- Penyakit kulit seperti Exfoliative Keratolysis yang kerap berlaku pada musim panas.
- Penyakit auto-imun seperti Psoriasis.
- Jangkitan kuman atau kulat
Dapatkan kulit yang sihat dengan penjagaan kulit yang betul.
Kami sarankan anda berjumpa dengan doktor anda mengenai masalah ini bagi mendapatkan rawatan yang lebih sesuai. Sila pantau diri anda sekiranya anda mempunyai simptom lain yang menandakan penyakit yang lebih kronik dan berbahaya seperti keletihan, kekebasan pada tangan, kebiruan pada jari, serta sesak nafas.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tambahan, anda boleh klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami secara peribadi melalui atas talian bagi mendapatkan penerangan dan nasihat atau rawatan yang diperlukan. Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Terima kasih.