Sulit
3 tahun
Cara ubati sakit gusi bengkak
Sy ingin tau bagaimana atasi sakit gusi bengkak
3 tahun
Salam sejahtera dan terima kasih atas soalan anda.
Kami memahami anda mempunyai sakit gusi bengkak dan kami akan cuba membantu.
Gusi bengkak merupakan satu masalah yang umum dalam kalangan kita. Salah sebuah penyakit yang paling kerap mengakibatkan gusi bengkak, sakit dan berdarah ialah ‘Gingivitis’. ‘Gingivitis’ merupakan penyakit yang akan mengakibatkan keradangan di gusi sekaligus menjadikannya bengkak. Terdapat juga kes di mana gusi akan berdarah dan mengalami kesakitan di samping menjadi bengkak. Jika ini berlarutan ia akan merosakkan tisu serta tulang yang menyokong gigi.
Apabila keradangan telah terkena pada struktur lain selain gusi, ia dipanggil ‘Periodontitis’.
Penyebab gusi bengkak yang utama ialah kebersihan mulut. Setiap individu haruslah menjaga kebersihan mulut dengan teliti supaya dapat mengelakkan berlakunya kejadian seperti ini. Antara cara menjaga kebersihan mulut adalah dengan menggosok gigi sekurang-kurangnya 3 kali sehari. Selain itu, kita juga boleh berkumur dengan menggunakan ubat kumur antiseptik untuk membantu membasmikan kuman dalam mulut.
Penyebab seterusnya adalah pemakaian pendakap gigi. Hal ini kerana sekiranya pendakap gigi dipasangkan terlalu berhampiran dengan gusi, ianya akan memberikan tekanan pada gusi sekaligus menyebabkan ia menjadi bengkak.
Selain itu, amalan pemakanan yang tidak sihat juga boleh menjadi salah satu penyebab gusi bengkak. Makanan yang dimaksudkan adalah makanan yang bergula. Hal ini bolehlah diperbetulkan dengan mengamalkan makanan seimbang yang kurang kandungan gula. Oleh itu, kita haruslah bertekad menjauhkan diri daripada minuman atau makanan yang bergula.
Seterusnya, kekurangan vitamin juga boleh mendorong ke arah gusi bengkak. Vitamin yang paling penting untuk menjamin kesihatan gusi ialah vitamin C. Sekiranya badan kita kekurangan vitamin C maka gusi kita akan bengkak dan mudah berdarah. Penyakit kekurangan vitamin C dipanggil sebagai ‘Scurvy”.
Sehubungan itu, kehamilan juga merupakan salah satu penyebab gusi bengkak yang ramai tidak ketahui. Hal ini kerana sewaktu mengandung, ibu akan kekurangan kandungan nutrisi dalam badan disebabkan zat-zat tersebut diberikan kepada kandungan dalam rahimnya. Justeru itu, wanita hamil tersebut akan mengalami gusi bengkak.
Seterusnya, penyebab lain gusi bengkak adalah disebabkan oleh pengumpulan nanah dalam gigi, gusi ataupun tulang yang memegang gigi yang datang daripada jangkitan kuman. Hal ini boleh berlaku akibat penjagaan kebersihan mulut yang tidak betul yang boleh menyebabkan kedatangan bakteria.
Terdapat banyak petua untuk gusi bengkak yang boleh diamalkan supaya dapat hilangkan gusi bengkak tersebut. Salah satu adalah dengan menggunakan air garam. Kita hendaklah melarutkan garam dalam segelas air dan kumurkan mulut dengan menggunakan air tersebut. Langkah ini harus diulang beberapa kali dalam sehari untuk meredakan gusi yang bengkak.
Selain itu, sekiranya anda tidak suka menggunakan air garam, kita juga boleh menggunakan jus perahan lemon. Setelah memerah jus buah lemon, kumur mulut untuk beberapa minit dengan jus tersebut. Ini juga merupakan petua yang efektif untuk mengurangkan bengkak di gusi.
Tambahan pula, kita haruslah sentiasa mengamalkan tabiat flos gigi dengan menggunakan benang flos. Hal ini kerana selepas makan, semestinya akan ada sisa-sisa makanan yang terlekat pada celah gigi. Kita perlulah memastikan sisa-sisa ini dikeluarkan kerana kalau tidak akan mencetuskan penyakit gingivitis.
Seterusnya, kita juga dinasihatkan untuk mengambil vitamin untuk menguatkan lagi gusi serta menghindari badan dari penyakit yang tidak diingini. Vitamin yang dapat membantu ialah vitamin C, asid folik serta zat besi. Tiga vitamin ini memainkan peranan penting dalam memastikan kesihatan gusi.
Petua yang tidak perlu diulangi kepada kita berkali-kali ialah minum air yang banyak. Perkara ini semestinya tidak perlu diulang kepada kita kerana kita sudahpun tahu dan mahir tentang keistimewaan air. Air dapatlah mengurangkan bakteria dalam mulut sekaligus meggantikan fungsi air liur.
Selain itu, kita juga boleh menggunakan ubat gigi yang khas untuk membantu keadaan gusi bengkak tersebut. Dengan menggunakan ubat gigi tersebut, bengkak gusi akan dapat dikurangkan dan gusi dapat dikukuhkan sekaligus gigi akan mendapat kalsium yang mencukupi untuk menjadi lebih kuat.
Akhir sekali, bagi individu yang kerap merokok, tabiat ini haruslah dihentikan. Hal ini disebabkan kandungan rokok seperti nikotin, tembakau dan tar akan menjadikan gigi kelihatan kuning serta mulut akan berbau busuk. Ini akan mendorong kepada bengkak gusi kerana kebersihan mulut merosot.
Kami harap jawapan ini membantu.
Anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor .
Anda juga boleh bercakap dengan doktor atas talian untuk nasihat lanjut.