Sulit
2 tahun
Bila mata agak terkeluar
Saya wanita, berumur 24 tahun. Sejak dari kecil, saya perasan mata saya agak terkeluar. Lebih ketara apabila mengbil bar dari sudut sisi. Tetapi tidak mengalami sebarang kesakitan.
Arwah Ibu saya menghidap penyakit thyroid, dimana leher beliau agak bengkak. Ibu saudara juga mengalami penyakit yang sama, mata beliau jugak agak terkeluar.
Jadi, saya mahu bertanya, adakah kemungkinan saya mengalami penyakit yang sama ? Atau ianya hanya genetik keturunan sahaja?
Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
2 tahun
Salam sejahtera,
Terima kasih atas soalan anda.
Berdasarkan pertanyaan anda di atas, saya memahami bahawa anda berasa bimbang tentang masalah anda. Saya akan cuba untuk membantu anda.
Untuk makluman anda, tiroid merupakan organ ataupun kelenjar yang terletak pada bahagian leher seseorang dan berbentuk seakan-akan rama-rama. Kelenjar tiroid ini penting dalam menghasilkan hormon tiroid. Hormon pula memberi impak serta regulasi terhadap metabolisma badan, mengawal degupan jantung, perkembangan dan pertumbuhan seseorang serta mengawal suhu badan seseorang. Bagi bayi pula, hormon ini amatlah penting bagi perkembangan otak mereka.
Hipertiroid pula merujuk kepada kondisi di mana seseorang itu mengalami hormon tirioid yang berlebihan dalam badan mereka. Hipotiroid pula sebaliknya yakni kekurangan hormon tiroid di bawah tahap normal.
Gejala hipertiroid merangkumi banyak sistem tubuh badan dan juga organ. Hal ini kerana, hormon ini disampaikan melalui saluran darah dan memberi impak kepada organ sekeliling. Antara simptom yang akan dihadapi oleh pesakit adalah seperti berikut:
- Jantung berdebar (melebihi 100 degupan dalam jangka masa seminit)
- Masalah ritma jantung yang tidak sekata
- Kuat makan dan sangat berselera namun kekal kurus atau mengalami penurunan berat badan
- Sering berasa bedebar, resah serta mudah tersinggung
- Kerap dan mudah berpeluh walaupun tidak melakukan aktiviti lasak
- Tangan dan kaki bergetar atau dalam terma perubatan dikenali sebagai tremor
- Mengalami masalah sukar untuk tidur
- Perubahan dari segi pola perkumuhan iaitu kerap membuang air besar
- Bagi wanita pula, mereka akan mengalami perubahan dari segi kitaran haid
- Kurang fokus dan mengalami masalah konsentrasi
- Mengalami rambut yang nipis dan rapuh
- Mengalami penipisan kulit
Pesakit yang mengalami masalah hipertiroid tidak hanya menunjukkan simptom malah terdapat beberapa tanda secara fizikal yang juga berlaku keatas mereka. Sebagai contoh:
- Pembesaran atau kelenjar tiroid kelihatan bengkak
- Bacaan tekanan darah meningkat
- Jantung berdegup dengan kencang
- Rambut berkurangan
- Biji mata kelihatan terkeluar
- Kulit pesakit terasa suam dan berpeluh
Oleh itu, saya menyarankan anda supaya merujuk kepada doktor untuk mendapat rawatan yang tepat. Anda boleh berhubung dengan doktor kami secara atas talian untuk mendapat maklumat serta rawatan yang lebih lanjut.
Saya berharap agar jawapan ini dapat membantu anda. Terima kasih.